Saturday, 8 March 2014

MAJLIS ANGKAT SUMPAH SEKRETARIAT MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR 2013/2014

Pada hari Isnin bertarikh 3 Mac 2014 merupakan satu tarikh keramat bagi Majlis Perwakilan Pelajar kerana Majlis Angkat Sumpah Sekretariat MPP 2013/2014 telah berlangsung dengan jayanya di dewan seminar, Pusat Islam Universiti Malaysia Sarawak. Seramai 98 orang mahasiswa dan mahasiswi UNIMAS yang terdiri daripada pelbagai fakulti dan tahun pengajian telah dilantik secara rasmi menjadi sekretariat-sekretariat MPP UNIMAS dengan dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Mohd Fadzil Abdul Rahman dan beberapa orang pegawai dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

Para jemputan kehormat diiringi oleh barisan MPP dan para sekretariat yang baru dilantik

Antara para sekretariat MPP baru

Lafaz ikrar dilaksanakan oleh para sekretariat baru

Dalam ucapan Prof Mohd Fadzil Abdul Rahman, beliau menyatakan bahawa seorang sekretariat akan menempuh pelbagai rintangan semasa menerajui perwakilan pelajar bagi menjaga kebajikan para pelajar dan nama baik UNIMAS. Walau bagaimanapun, para sekretariat perlu sentiasa bersikap positif dan mempunyai semangat yang teguh dalam menjayakan misi dan visi UNIMAS bak kata pepatah “bara yang digenggam biar sampai jadi arang”. Yang Di-Pertua MPP, saudara Mohamad Zulhilmy Abd Manan juga menyatakan dalam ucapan beliau bahawa para sekretariat merupakan sebahagian daripada keluarga besar MPP. Oleh sebab itu, mereka telah diamanahkan sebagai wadah interaksi antara barisan MPP dan pelajar UNIMAS dalam menyalurkan pelbagai masalah dan pandangan.

Prof Mohd Fadzil Abdul Rahman dan Mohamad Zulhilmy Abd Manan memberi ucapan ketika majlis berlangsung

Tahniah diucapkan kepada para sekretariat yang baru dilantik. Selamat menjalankan tugas anda!